Wednesday, November 30, 2011

ALLAH PASTI MEMBERIKAN YANG TERBAIK...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

... 
Setiap manusia pastinya selalu menginginkan yang terbaik. Mendapat segala yang terbaik dan mengusahakan sesuatu yang terbaik, baik untuk dirinya mahupun untuk orang-orang yang tersayang…

Salah satu sifat seorang Muslim ialah selalu memohon dan meminta pada Allah, Zat yang Maha Kuasa. Satu persepsi dan pegangan bagi seseorang yang bepegang teguh bahawa jika mahukan sesuatu, mintalah pada Allah kerana Dia pasti tidak pernah menghampakan.

Meminta pada manusia, sekali dua kali, mungkin diberinya, tapi mungkin tidak pada permintaan yang berikutnya....tetapi jika berkehendakkan sesuatu, mintalah pada Allah, kerana Dia pasti tidak jemu dan bosan untuk menunaikannya, terkadang juga tidak diminta, diberi-Nya pula.

Mungkin terselit ungkapan tulus dalam bait-bait kata dalam banyak-banyak doa yang dipohonkan kepada Ilahi ... “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku....”. Tetapi terkadang manusia lupa, terkadang yang dirasakan terbaik untuk diri kita menurut kacamata kita adalah yang terburuk untuk kita menurut pandangan Allah.

....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui...” (QS: 216)

Sebaliknya, berkatalah...”Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku, yang Engkau rasakan terbaik untukku...”.

Terkadang juga manusia itu lupa, bahawa yang dilaluinya dan diterimanya itulah yang diminta daripada Allah. Kita terkadang sering lupa, yang datang itulah yang terbaik untuk kita. Tanpa kita pinta, sesuatu ujian yang amat berat datang menjengah untuk mewarnai kehidupan dan menguji kesabaran kita. 

Suatu ujian yang dirasakan berat untuk dipikul dan terasa hilang kesabaran menghadapinya. Ujian yang kita tidak minta tetapi ia datang. Sedangkan kita lupa, bahawa ujian itulah yang kita minta daripada Allah, sesuatu yang ‘terbaik’ untuk kita. Ibrah yang ‘terbaik’ untuk kita untuk menjadikan kita yang ‘terbaik’ di pandangan Allah.

Begitulah, setiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu, amat tinggi nilainya dimata Allah, tiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu juga amat tinggi pengorbanannya pada Allah, persoalannya pada diri kita, adakah kita sanggup untuk menghadapinya untuk mendapatkan yang terbaik itu serta sentiasa berbaik sangka kepada Allah atau sebaliknya......

Janganlah kita menjadi hamba yang kufur akan nikmat-Nya, hanya kerana belum diberi apa yang diinginkan. Yakinlah, Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hamba-Nya. Lihatlah sisi positifnya dari setiap keadaan kita.

Yang manapun kita, bersabarlah...........

Saturday, November 26, 2011

Wanita solehah rela stokin kakinya basah terkena air yang melimpah daripada terkena percikan api neraka

-Wanita solehah rela berpanas memakai jubah menutup segala aurat yang dijaga daripada berendam dalam lautan neraka

-Wanita solehah rela rambutnya disimpan rapi terpelihara dan tudung labuh ke bawah dada daripada digantung rambutnya sehingga mendidih otak derita...
 
-Wanita dicipta bukan untuk dikagumi banyak lelaki,

Tapi untuk seorang lelaki bernama, Suami..

Thursday, November 17, 2011

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka ALLAH SWT. Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh ALLAH itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

HIKMAH DIAM :

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah. 
2. Perhiasan tanpa berhias. 
3. Kehebatan tanpa kerajaan. 
4. Benteng tanpa pagar. 
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang. 
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal. 
7. Menutupi segala aib.

Hadis-hadis Rasulullah S.A.W. mengenai kelebihan diam yang bermaksud: 
"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan Barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya Neraka lebih utama baginya". 
( Riwayat ABU NAIM ) 

"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Riwayat BUKHARI dan MUSLIM ) 

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". 
(Riwayat AT-TARMIZI )


Madah Dari Hukama: 

BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK, KERANA KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, ORANG CERDIK YANG PENDIAM LEBIH BAIK DARI ORANG BODOH YANG BANYAK CAKAP. MENASIHATI ORANG YANG BERSALAH, TIDAK SALAH. YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG. KALAU ORANG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap ke arah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.