Monday, March 21, 2011

~Bagai Debu Beterbangan~


Suara letusan gunung memekakkan telinga, binatang-binatang serta manusia mati bergelimpangan. Hutan-hutan musnah terbakar. Pada masa itu, orang akan melupakan anak yang sedang disusuinya. Manakala orang yang hamil akan gugurlah kandungannya pada masa itu juga, keadaan manusia pada masa itu seperti orang mabuk kerana goncangan bumi yang begitu kuat. Air laut menyimbah ke darat mengaramkan kota-kota itu hancur berkecai.
Tinggal Debu
Apabila matahari digulung cahayanya, bintang-bintang jatuh bertaburan ke bumi, Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu), unta-unta bunting ditinggalkan. Binatang-binatang berkumpul, laut mengganas. Bila roh disatukan, anak-anak perempuan yang dikubur hidup-hidup disoal. Apakah dosa mereka hingga mereka dibunuh (di zaman jahiliah). Apabila buku-buku kebajikan diedarkan, langit dicabul (Bintang-bintang dan planet tidak di tempatnya). Neraka mula dinyalakan, Syurga mula dibukakan. Setiap orang akan mengetahui apakah amalan yang telah mereka kerjakan. Aku (Allah) bersumpah menarik perhatianmu kepada bintang-bintang yang kelihatan kembali, dan beredar serta berlindung. Demi malam bila telah hampir tamat dan subuh mulai kelihatan. Sesungguhnya semua itu adalah perkataan Rasul yang mulia. Yang mempunyai kekuatan di sisi Arasy yang tinggi darjatnya. Yang dihormat dan dipercayai.(Surah At-Takwir.- Ayat 1-21);
Surah ini menerangkan betapa hebatnya peristiwa kiamat. Cubalah kita bayangkan apabila matahari tidak bersinar, bintang-bintang berguguran jatuh ke bumi. Gunung-gunung yang pejal dari batu-batan hancur bagaikan debu. Oleh kerana goncangan bumi begitu kuat, manusia tidak dapat duduk diam, isi perut bagai dikocak, rumah-rumah, bangunan-bangunan tinggi runtuh timpa menimpa mencium bumi. Ramai manusia yang terkorban, sawah-ladang dipenuhi lahar dan lumpur panas yang dimuntahi oleh gunung berapi.
Dunia seolah-olah sedang mengamuk kepada manusia kerana dosa-dosa mereka. Sana-sini kedengaran suara jeritan minta pertolongan dan suara merintih. Laki-laki dan wanita berlari-lari seperti orang gila kerana ketakutan. Berhari-hari penduduk dunia berada dalam suasana azab bencana akan kiamat. Siang dan malam bumi bergoyang terus-menerus, sehingga tiada satupun bangunan berdiri tegak melainkan semuanya hancur.
Gunung-gunung terus memuntahkan batu-batu api yang menyala-nyala. Pada masa itu tidak ada lagi perasaan gembira. Di kala itu manusia menjadi lebih hairan kerana matahari yang bersinar terang-benderang dan panas tiba-tiba menjadi gelap-gelita. Ketika manusia dalam kebingunggan, kehairanan dan ketakutan yang tak habis habis, tiba-tiba bintang-bintang yang beribu-ribu jumlahnya di angkasa jatuh ke bumi menimpa apa saja yang berada di bumi.
Sana-sini terdengar ledakan-ledakan hebat yang mengegarkan. Pada masa itu panas permukaan bumi sungguh luar biasa, hinggakan air laut menjadi kering. Dalam pada itu datang pula angin kencang bertiup entah dari mana, angin itu menerbangkan apa saja yang terdapat di bumi. Kemudian pada saat genting itu malaikat Israfil meniup sangkakalanya. Apabila dunia telah hancur sama sekali oleh tiupan sangkakala maka wajah dunia bertukar rupa, di mana seluruh muka bumi menjadi rata dan lapang.

@__Matahari Makhluk Allah__@


Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang supaya engkau redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan). Surah Taha Ayat 130
Matahari 
Matahari adalah unit terbesar dari sistem tata suria kita. Matahari sangatlah panas dan mengandung gas yang selalu terbakar. Di permukaannya selalu terjadi ledakan bagaikan jutaan bom atom yang dijatuhkan tiap waktu. Ledakan ini menghasilkan lidah api raksasa yang ukurannya 40 atau 50 kali lebih besar dari bumi kita.  Namun ia tetap tunduk kepada perintah Allah Swt. 
"Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu, dan bintang-bintang dikendalikan dengan perintahNya. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang mengerti." (Surah An-Nahl Ayat Ke-12)
Allah telah menciptakan jarak yang sempurna antara bumi dan matahari. Apabila jarak matahari lebih dekat dengan kita, maka semua yang ada di bumi akan menguap dan terbakar. Begitu juga, apabila jaraknya lebih jauh dari saat ini, maka semua daerah akan tertutupi ais. Dengan begitu, tentu saja, kehidupan akan mustahil
Photo by: Annamir
Matahari Terbit Dari Arah Timur dan kesan Effect "Sundog"
Ketika ayat al-Quran diturunkan, manusia belum mempunyai teleskop atau alat saintifik untuk membuktikan matahari itu berputar dan beredar dalam orbitnya. Ini membuktikan bahawa Al-Quran itu adalah perkataan (kalam) Tuhan (Allah SWT).
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui(Surah Yasin Ayat ke-38)
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak dapat mendahului bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.(orbit) (Surah Yasin Ayat ke-40)

Friday, March 18, 2011

~C.A.N.T.I.K~


Fitrah manusia menyukai kecantikan dan inginkan kecantikan. Cantik itu adalah anugerah. Namun, percaya atau tidak, cantik itu juga sebenarnya merupakan satu ujian. Tetapi perlu diingat bahawa cantik itu adalah amat subjektif.
Barangkali ada yang memiliki wajah cerah dan licin tetapi tidak nampak seri, barangkali ada pula yang gelap dan biasa sahaja tetapi begitu manis dipandang.
Cahaya iman mungkin?
Berbalik kepada tajuk. Cantik adalah ujian. Mengapa begitu?
Cantik sebagai anugerah
1. Meningkatkan rasa syukur
2. Keyakinan diri tinggi
3. Sedap mata memandang
4. Maintanance rendah (sepatutnya)
5. Apabila dikecapi apabila sebelumnya biasa-biasa
Si cantik yang mempunyai wajah licin bersih, pastinya akan bersyukur kerana tidak perlu berat kepala memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kulit sekaligus mengurangkan kos perawatan muka dan sebagainya. Begitu juga akan membolehkan si cantik yakin melangkah.
Dan paling boleh dianggap sebagai anugerah sekiranya mereka yang boleh dianggap biasa sahaja sebelum ini, kini dianugerahkan dengan rupa paras menarik. Pasti ramai yang mula tertarik.
Cantik sebagai ujian
1. Dijadikan bahan komersial
2. Disayangi hanya kerana rupa
3. Menimbulkan riak dalam hati
4. Apabila nikmat cantik ditarik sekelip mata
Si cantik biasanya menjadi pilihan untuk melariskan pelbagai produk di pasaran. Tidak kira bagi pengiklanan produk kecantikan, produk kesihatan hatta produk deodorant lelaki pun menggunakan si cantik sebagai pelaris, tidak semena-mena sahaja deodorant itu perlu diedarkan oleh si cantik sebelum sampai ke tangan si lelaki pemakainya.
Pakaian? Peluk cium usah kira, penambah saham dosa. Oh, tiada kerja!
Si cantik juga seringkali menjadi mangsa jerat cinta si jejaka yang mementingkan rupasemata-mata. Apabila cantik itu hilang, maka hilanglah cinta Sang Pencinta juga. Bukankah itu juga satu ujian? Lebih baiklah mereka yang sederhana paras rupa, yang diyakini disayangi bukan kerana rupa semata-mata.
Riak pula? Seringkali wujud rasa iri hati di kalangan sesetengah individu yang berasa kurang senang dengan kecantikan yang dimiliki orang lain, dan seringkali juga wujud segelintir si cantik rupa yang memandang rendah pada yang lain hanya kerana mereka memiliki aset wajah menarik.
Apa pun, ujian terbesar ialah apabila kecantikan itu ditarik dan hilang sekelip mata. Hilanglah keyakinan diri, hilanglah semangat, dan tidak mustahil hilanglah sebahagian besar mereka yang seringkali menjadi pendamping selama ini.
Kesimpulannya, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana semuanya tidak kekal selamanya.

Akal vS Nafsu


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAH) bagi orang-orang yang berakal" (Ali'Imran 190)
Akal Membezakan Manusia dengan Haiwan
Akal yang mengatasi Nafsu adalah Akal yang Hebat. Akal yang diatasi oleh nafsu adalah akal yang lemah sehingga boleh menyebabkan manusia bertindak seperti haiwan yang hanya bernafsu.
LIMA Tanda Zahir:
1. Diam diri.
2. Menahan marah.
3. Merendah diri.
4. Peramah.
5. Berbuat amal soleh.
LIMA Tanda Batin:
1. Berkata-kata dengan kebajikan.
2. Berbuat ibadat.
3. Sentiasa takut kepada Allah SWT.
4. Memuhasabah dosa dirinya (Agar timbul perasaan untuk bertaubat).
5. Menghina dirinya kepada RabbulJalil (walaupun manusia sebaik-baik kejadian tetapi manusia sering melakukan dosa).

Sabar oH Sabar..


Sabar... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.
Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.
Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.
Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.
Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.
Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.
Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.
Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.
Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Ma'aarij:ayat 5)
Ya, saya suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik.
Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh.
Asyik sabar je, penat dah sabar ni!"
Kita tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.
Apabila kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan.  Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.
Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu.Kita yang perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar. Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada kehidupan kita ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk bersabar, insyaAllah kita diberi ketenangan untuk membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.
Saya bagi satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani kehidupan dengan seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri. Setiap tindakannya pasti memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa menjadi mangsanya. Setiap perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat kita berkecil hati. Disini, anda hanya ada dua pilihan, memilih untuk terus bersabar dan bertahan sepanjang anda menjalani kehidupan dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya akibat sakit hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda mampu menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih untuk bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan persahabatan itu sendiri.
Namun sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya dan kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang teraniaya itu.
Sebelum kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.
Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.
Jika kita mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.
Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang lain tidak mencari salah kita.  Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat.